Tarikh Semakan Keputusan UPSR, PASR, PT3, SPM, SPMU, STAM, STPM serta
Semakan Tawaran SBP, Sekolah Kawalan, MRSM, Tingkatan 6, Matrikulasi, MUET dll

Perkembangan Terbaru Pentaksiran Berasakan Sekolah 10.04.2014

Posted on: April 16th, 2014 by viewnow

 Improvement for PBS will be implemented from 1 April 2014 Onwards (Media Release)

 Penambahbaikan PBS akan di laksanakan mulai 1 April 2014

 KENYATAAN MEDIA

YAB MENTERI PENDIDIKAN TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN MENGENAI PENAMBAHBAIKAN PENTAKSIRAN BERASASKAN  SEKOLAH (PBS)

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat prihatin terhadap isu pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah dibangkitkan oleh guru-guru.

PBS merupakan dasar yang melibatkan pentaksiran secara menyeluruh (holistik) terhadap pencapaian murid yang terangkum menerusi empat komponen pentaksiran iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti      Jasmani,   Sukan   dan   Kokurikulum   (PAJSK),   Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Pusat (PP).

Selain itu PBS merupakan sistem pentaksiran yang akan digunakan bagi menjamin pencapaian seseorang murid supaya tidak lagi dinilai berasaskan peperiksaan semata-mata. 

Jemaah Menteri pada Disember 17, 2010 telah bersetuju supaya PBS dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program transformasi pendidikan. Pengoperasian PBS mula dilaksanakan di sekolah rendah pada sesi persekolahan tahun 2011 dan sekolah menengah  pada sesi persekolahan tahun 2012.

Walaubagaimanapun, pada 11 Februari tahun ini, KPM telah membuat keputusan untuk menangguhkan PBS dan mengkaji semula pelaksanaannya.

Ini adalah kerana guru-guru  menyatakan bahawa mereka  dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat yang menjadi bebanan kepada mereka, manakala ibubapa pula tidak pasti bagaimana murid dinilai terutama pelajar tingkatan 3 tahun ini yang merupakan kohort pertama melalui PBS.

Penangguhan ini adalah untuk mengenalpasti permasalahan yang ditimbulkan ekoran daripada rungutan guru-guru dan ibu-bapa dan mengambil langkah-langkah yang perlu dan segera dalam penambahbaikan PBS.

Ekoran dari kajian semula PBS, KPM telah mengambil langkah proaktif dengan  mengadakan  beberapa  siri perbincangan  dan  pertemuan dengan kesatuan-kesatuan guru serta beberapa kelompok guru-guru untuk mendapatkan maklum balas dan membantu dalam memberi input kepada penambahbaikan PBS.

Isu-isu pelaksanaan PBS

Berdasarkan kajian KPM dan input daripada guru-guru dan kesatuan- kesatuan guru, didapati terdapat tiga isu utama  berkaitan perlaksanaan pentaksiran sekolah.

Pertama, ialah penggunaan Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang menyebabkan guru terikat dengan bilangan pernyataan deskriptor dan pernyataan evidens yang banyak.

Bagi menangani isu ini, KPM telah menetapkan DSP dipermudahkan menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid.

Guru mengajar menggunakan kurikulum kebangsaan yang dibangunkan berdasarkan tema, tajuk atau kemahiran mata pelajaran yang perlu dikuasai      oleh   murid.   Guru   seterusnya   mentaksir   perkembangan pembelajaran murid berdasarkan pemerhatian dan penilaian mereka sendiri dengan merujuk kepada Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid tersebut.

Guru boleh merekodkan tahap penguasaan murid mengikut kesesuaian masa dan kaedah mereka sendiri. Perekodan ini menggambarkan perkembangan pembelajaran murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang boleh dimaklumkan kepada ibu bapa. Dengan yang demikian, guru tidak lagi dibebankan dengan pengumpulan data dan evidens hasil kerja murid melalui pernyataan evidens yang terlalu kompleks.

Bagi ibu bapa yang ingin mengetahui tahap pencapaian anak-anak mereka, pihak sekolah boleh menyediakan pelaporan pencapaian dengan  mengadakan ujian  bulanan,  peperiksaan pertengahan tahun atau peperiksaan akhir tahun sekolah.

LAMPIRAN 1 DAN 2

Isu   kedua   ialah   pengurusan  fail   yang   rencam   meliputi   Fail

Perkembangan Murid (FPM) dan Rekod Transit.

Bagi menangani masalah ini, guru tidak perlu lagi menyediakan FPM dan melengkapkan Rekod Transit. Perekodan perkembangan pembelajaran murid boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa guru.

LAMPIRAN 3

Ketiga, perekodan prestasi murid melalui Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) secara atas talian (online) yang sukar diakses dan memakan masa yang lama.

Oleh kerana bilangan pernyataan deskriptor dan evidens telah dikurangkan, secara otomatik guru-guru tidak akan dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat.

Bagi memastikan guru memberi fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran, guru tidak perlu lagi mengisi data penguasaan murid menerusi SPPBS secara online seperti sebelum ini. Guru boleh merekodkan perkembangan pembelajaran murid secara offline.

Menerusi PBS juga, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Tingkatan 3 akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Ini bermakna tiada peperiksaan berpusat untuk pelajar Tingkatan 3 yang akan dilaksanakan di peringkat sekolah.

PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan. Manakala mata pelajaran Science, Mathematics, Pendidikan  Islam,  Kemahiran  Hidup,  Bahasa  Arab,  Bahasa  Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja. Mata pelajaran  Sejarah  dan  Geografi  pula  akan  ditaksir  menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis (assignment), ujian amali (practical test),  projek, kajian lapangan (field  study) atau  kajian kes (case study).

Melalui PT3, pihak sekolah akan mentadbir, mentaksir dan memberi skor   terhadap   pentaksiran   tersebut   berpandukan   instrumen   dan panduan peraturan penskoran yang setara (standardised) yang disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan (LP). LP dan pentaksir luar yang dilantik oleh LP akan melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum pelaporan dikeluarkan.

Moderasi ialah suatu proses menyelaras markah yang diberi oleh beberapa orang pemeriksa ke atas hasil kerja murid bagi mendapatkan satu markah yang dipersetujui bersama. Persetujuan ini adalah berdasarkan peraturan pemarkahan yang disediakan dan merupakan prosedur untuk memastikan ketekalan (konsistensi) pemberian markah antara pemeriksa. Verifikasi pula ialah proses menentusahkan markah yang diperoleh murid adalah markah yang selayaknya diterima.

LAMPIRAN 4

PT3   ini   juga   akan   digunakan   sebagai   asas   untuk   menentukan kemasukan murid-murid ke tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah  Sains  Mara  (MRSM)  termasuk  Sekolah  Menengah  Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional. Di samping PT3, kemasukan ke sekolah- sekolah tersebut juga menggunakan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka.

LAMPIRAN 5

Untuk memastikan PBS yand telah di tambahbaik ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan seperti yang dihasratkan, KPM akan mengadakan taklimat secara terperinci tentang konsep dan pelaksanaannya kepada pegawai-pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, pentadbir dan guru-guru.

Latihan adalah satu aspek utama dalam memastikan guru dapat melaksanakan pentaksiran. Oleh itu, KPM akan berusaha mengadakan latihan supaya guru memahami konsep pentaksiran dan mengamalkannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.  Selain daripada itu, KPM juga akan mengadakan latihan bagi meningkatkan kemahiran guru memeriksa jawapan murid.

Penambahbaikan PBS akan di laksanakan mulai April 1.

Maklumat Lanjut Penambahbaikan PBS         Bahan Taklimat PBS

Tags:

Comments are closed.