Bahasa Melayu 02 Pentaksiran Tingkatan 3 Tahun 2014 Negeri Terengganu (Questions for Malay Language paper 02, PT3 year 2014 Terengganu.)
Cerpen dalam Soalan 5
Kalau ada yang terkena campak, dipetuakan berbaring di atas pucuk pisang yang dilampirkan daun mambu. Kalau terseliuh atau terkehel sendi, maka selepas berurut sapulah serbuk biji pala lalu balutkan sendi yang sakit dengan daun melur. Ubi jaga, asam jawa, dan buah kundur sangat berkesan untuk mereka yang menderita karam hangat atau demam panas.
Kalau bayimu terkena demam kuning, pesan Haji Saad Panglima, berilah minum susu kambing. Selebihnya, hidup kami dipenuhi dengan petua yang ditinggalkan atau diajarkan oleh Haji Salleh Pumpong, Bidan Mak Besah atau Hajah Tom guru Quran.
Maka fahamlah kami akan gunanya air pucuk bemban kalau diserang sakit mata, atau cara untuk meramu sarang angkut-angkut jika diketit lebah atau tebuan. Cari sarangnya, campur dengan air, dan sapu di tempat yang terkena sengat, insya-Allah sakitnya hilang dan bengkaknya menyurut. Kata Haji Salleh Pumpong lagi, kalau rambut bayimu jarang, ambillah daun bunga raya, ramas dalam air lalu sapu di kepalanya, seminggu dua kemudian, lebatlah dan hitamlah rambutnya.
Bidan Mak Besah pakar melenggang perut, ilmunya boleh mengalih bayi songsang, dan dia paling arif perihal adat dan tertib menyambut bayi. Carikan daun sekentut, campur dengan daun leletup, rebus sampai kering separuh airnya dan beri minum isterimu, insya-Allah akan kecut perutnya. Orang dewasa akan tersenyum meski wajah bidan tua itu sangat serius, dan sekelip mata akan tercegatlah si suami di sisi belukar, memetik daun-daun yang dipesan sambil menggiring kawanan kambing mencari makan.
Download | Question | Skema |